SELANGOR FC
BERITA

Faisal Halim Secara Rasmi Menyertai Selangor FC

Dec 22, 2022 - FAS

Faisal Halim atau terkenal dengan panggilan ‘Mickey’, hari ini secara rasmi diumumkan sebagai pemain tempatan baharu Gergasi Merah untuk menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2023.

Faisal dikatakan berjaya mencuri tumpuan selepas mempamerkan beraksi dengan cemerlang bersama pasukan negeri kelahirannya, Penang dalam saingan Piala Presiden 2014. Ia menjadi satu batu loncatan untuk beliau mula beraksi dalam saingan Liga Premier 2015 semasa usianya 17 tahun, dengan mencatatkan tiga penampilan dan satu jaringan gol sekaligus membantu pasukannya menjadi Naib Juara kejohanan tersebut pada ketika itu.

Pada tahun berikutnya, Faisal membuat satu keputusan besar untuk berhijrah dari negeri kelahirannya dan melebarkan sayap beliau bersama pasukan utama Sri Pahang FC bermula tahun 2016. Beliau terus menjadi antara pemain tonggak yang membantu Tok Gajah menjulang Piala FA 2018. Lima tahun bersama pasukan tersebut, Faisal membuat 79 penampilan, sepuluh jaringan gol dan empat bantuan gol untuk rekod peribadinya.

Pemain yang dilahirkan pada tahun 1998 ini terus disunting Terengganu FC selama dua tahun. Terus memberikan impak, beliau menjadi tonggak utama Sang Penyu muncul Naib Juara dalam saingan Liga Super musim ini. Prestasinya dilihat terus meningkat naik apabila berjaya menjaringkan 27 gol dan 42 ‘assists’ dalam 101 perlawanan selama bersama Sang Penyu.

Prestasinya yang memuncak membolehkan pemain licik ini mendapat panggilan pasukan utama Harimau Malaya untuk kali pertama pada tahun 2019 dan menjadi pemain ‘regular’ sehingga kini dan telah dilantik sebagai salah seorang Kapten pasukan Negara. Faisal, turut menjaringkan gol kemenangan untuk pasukan Kebangsaan menentang Myanmar dalam perlawanan pembukaan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 semalam.

Mahu menjadi watak penting dalam pasukan, Faisal yakin beliau mampu berikan yang terbaik untuk memperkuatkan jentera serangan pasukan Selangor bagi musim 2023 kerana impiannya untuk bersama kelab ini akhirnya tercapai.

"Selangor FC adalah satu pasukan yang besar, semua orang mengenali dan ingin bermain untuk kelab ini. Alhamdulillah, saya dah sampai ke laman Gergasi merah kerana ini yang ditunggu-tunggukan.

Saya yakin mampu mempamerkan persembahan yang baik dan memberikan  kelainan untuk Selangor FC. Sasaran saya sekurang-kurangnya ingin menjadikan Merah Kuning sebagai pasukan yang digeruni dan saya berjanji akan berikan sehabis baik untuk melaksanakannya," Faisal menyatakan hasratnya bersama Media Selangor FC.

Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Faisal Halim. Semoga beliau dapat mengukuhkan dan menambahkan sengat bahagian serangan Gergasi Merah untuk Liga Malaysia musim 2023 tidak lama lagi.

Faisal merupakan pemain terbaru ketiga yang diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor FC memperkenalkan Ruventhiran dan Khuzaimi Piee baru-baru ini.

Semoga berjaya Mickey!

Teruskan ikuti media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim hadapan.

Demi Kebanggaan!